Friday, May 2, 2008

Krisis Kewangan MBAS


Bila dan sampai bila penyelesaiannya?


Apabila Alor Star di naiktarafkan kepada Bandaraya Alor Star sudah tentunya warga Bandaraya Alor Star mengharapkan sesuatu perubahan dari segi susun atur bandarnya, perkhidmatan perbandaran dan pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam kelas pertama di dalam Bandaraya Alor Star daripada MBAS secara khususnya dan juga Kerajaan Negeri Kedah secara amnya. Di dalam mengambil kira pengharapan ini sudah tentunya memerlukan dana kewangan bagi menjana pembangunan dan perkhidmatan yang terbaik di samping itu juga tidak melupakan soal pembangunan insan.

Ana sebagai warga Bandaraya Alor Star terpanggil untuk memberi pendapat yang tak seberapa ini mengenai kewangan MBAS walaupun ana ini bukannya ahli ekonomi yang tahu sangat selok-belok tentang ekonomi. Di sini ada beberapa pengamatan ana secara luaran yang ana ingin utarakan.

Pelan Pemulihan Kewangan

Pertama, sejak mula MBAS di dalam ambang krisis kewangan ana tidak nampak pentadiran MBAS begitu serius di dalam memulihkan kewangannya seolah-olah semacam orang menyerah nasib pada takdir tanpa usaha yang disusuli tindakan yang sewajarnya. Kalau adapun cuma penyelesaian di atas kertas sahaja seolah-olah melepas batuk di tangga sahaja dan di laksanakan secara bermusim sahaja umpama sekali diketuk sekali terjaga ... Penyelesaian yang nampak ketara sedikit ialah kutipan tunggakan cukai pintu yang bernilai berjuta-juta tetapi dirasakan gagal dikutip sepenuhnya kerana ada tunggakan yang sudah lapuk. Penyelesaian kutipan tunggakan bukannya mudah semudah air mengalir tetapi memerlukan komitmen yang tinggi dan tindakan penguatkuasaan tanpa mengira bulu dan arahan talian hayat. ..

Sebenarnya MBAS memerlukan tindakan radikal bukannya cara biasa-biasa sahaja. Mengapa ana mengatakan begini , tindakan tanpa pelan pemulihan ibarat mencurah air di daun keladi apabila bercakap hal ini , ana berharap pihak pentadbiran MBAS mencontohi langkah yang di ambil oleh MAS di dalam memulihkan kedudukan kewangan mereka .

MAS telah melantik The Boston Consultancy Group untuk membuat kajian mengenai kedudukan semasa MAS dan meneliti perkara-perkara yang diperlukan untuk mengembalikan MAS agar memperoleh keuntungan, ini menunjukkan MAS benar-benar komited di dalam menyelesaikan krisis kewangan mereka. MAS membentangkan pelan pemulihan dengan mengambil kira langkah yang efektif di dalam menyelesaikan krisis kewangan mereka tetapi MBAS minta maaf ana tidak nampak satu pelan pemulihan yang dibentangkan untuk di ambil tindakan sewajarnya satu persatu dengan mengambil kira perkara yang memberi impak di dalam pemulihan kewangan MBAS.

Mungkin di sini bezanya pemikiran MAS adalah secara korporat dan MBAS secara pentadbiran Kerajaan. Dalam hal ini sudah sampainya pentadbiran MBAS hendaklah mempunyai anjakan berfikir secara korporat jika mahu mengubah nasib yang lebih baik terutama Jabatan Kewangan hendaklah lebih proaktif selaras penyusunan semula organisasi jika tidak pi mai pi mai macam tu juga bukan ”hanya menerima wang dan bayar wang sahaja” tetapi lebih daripada itu untuk menjana kewangan MBAS. Jabatan Kewangan perlu menjadi pencetus dan perancang utama di dalam hal ini kerana masa sudah berubah dulu lain sekarang lain maka cabaran semakin bertambah ayuh bangunlah daripada tidur yang panjang, ubahlah secara berfikir dan lebih bertanggungjawab di dalam soal meningkatkan kewangan MBAS. Jika tidak pihak pengurusan MBAS menaiktarafkan Bahagian kepada Jabatan adalah satu perubahan sia-sia sahaja kerana tidak memberi kesan apa-apa pun kepada MBAS jika yang berubah hanya pangkat dan elaun sahaja.

Langkah-langkah yang telah diambil hendaklah dibentangkan untuk mengetahui keberkesanannya dan dibuat penambahbaikan.


Audit Kewangan

Kedua, melaksanakan audit kewangan terhadap hasil pendapatan MBAS supaya dapat diketahui kebocoran hasil.

Mengapa ana mengatakan begini kerana apa yang dilaksanakan di MBAS pada setiap tahun hanyalah audit tadbir urus sistem kewangan sahaja iaitu adakah mematuhi amalan piawaian perakaunan ataupun tidak jika mematuhi akan diberikan Sijil Bersih daripada Jabatan Audit. Ini hanya audit prinsip perakaunan . Jika mendapat Sijil Bersih inilah menjadi kebanggaan Jabatan Kewangan yang sebenarnya umpama menang sorak kampung tergadai . Jabatan Kewangan kadangkala terlupa akan tanggungjawab yang lebih besar iaitu RM, RM dan RM yang perlu ada di dalam akauan MBAS.

Di sini di maksudkan dengan audit kewangan ialah dalam konteks pengurusan hasil oleh setiap Jabatan yang terlibat dengan hasil dibimbangi tidak beroperasi seperti yang sepatutnya. Produktiviti mengecewakan. Tahap perkhidmatan juga mengecewakan yang menyumbang kepada susutnya prestasi secara keseluruhan terutama yang melibatkan hasil pendapatan kepada MBAS.

Audit kewangan yang perlu di beri perhatian utama oleh MBAS ialah hasil tempat letak kereta dan hasil cukai pintu melalui penilaian cukai pintu kerana hasil inilah yang memberi sumbangan yang paling tinggi selain perancangan pembangunan.

Dalam hasil tempat letak kereta, ana rasa sudah sekian lama pihak MBAS tidak mendapat apa yang sepatutnya hasil yang dapat dan perkara-perkara semacam ini pihak MBAS tidak perlu berkompromi kerana ini melibatkan masa hadapan dan maruah MBAS.


* Nota : Tunggu... sambungan artikel Bahagian Ke-2

Wednesday, April 23, 2008

Pengurusan Tempat Letak Kereta Di Bandaraya Alor Star

Dimanakah halatujunya ?

Bila sahaja ke Bandaraya Alor Star menaiki kereta perkara paling utama yang bermain difikiran ialah tempat letak kereta. Walaubagaimanapun sebenarnya ada tempat letak kereta tetapi budaya mahu letak kereta dekat tempat yang mahu dikunjungi menyebabkan ini lah puncanya yang dikatakan tempat kereta tidak mencukupi. Walaupun dari statistik, sememangnya tempat kereta tidak mecukupi di Bandaraya Alor Star tetapi boleh di atasi jika pemikiran warga Bandaraya dapat diubah supaya berjalan lebih sikit dari tempat letak kereta ke tempat yang hendak dikunjungi. Apa-apapun warga bandaraya kena fikir sendiri kadangkala mahu juga letak kereta hingga mengganggu aktiviti lalulintas pemandu yang lain dan kebanyakan lokasi yang sering berlaku seperti ini ialah dihadapan bank dalam pusat bandar.

Di sini bukan hendak dibincang perkara di atas sangat tetapi yang lebih penting ialah pengurusan tempat kereta di Bandaraya Alor Star . Walaupun tempat letak kereta di Bandaraya Alor star bukan diuruskan oleh MBAS sendiri kerana diberi kepada satu syarikat daripada dengar-dengar orang dok sembang sebelum ini bukan ada pengalaman pun tentang pengurusan tempat letak kereta seakan-akan macam nak buat MBAS ni "test run" saja janji wang masuk saku dan hidup ada gaya, mutu dan keunggulan.

Sebenarnya warga Bandaraya tak kisah MBAS nak bagi kat syarikat mana pun apa yang penting syarikat dapat melaksanakan tugas dengan baik dan memberi manafaat kepada MBAS. La ni rata-rata orang dok bercakap , kalau buat macam sekarang ini orang kampung pun boleh buat dengan modal atas angin saja.. Syarikat dulu yang lama pun hebat sikit pada yang ini semacam MBAS nak balik kebelakang dalam pengurusan tempat letak kereta.

MBAS makan tulang orang lain yang makan isi sedangkan PBT mempunyai kuasa penuh dalam hal ini .. ini lah orang dok cakap PBT sebenarnya adalah lubuk emas tetapi kena akai jenuh aja dari segi matematik sebenarnya MBAS boleh bangun semula kalau hal-hal macam ni di ambil serius kerana pendapatan yang major bagi Majlis adalah kutipan cukai pintu dan kutipan tempat letak kereta kalau salah satu orang lain dok balun apa lagi memanglah Majlis tu lingkup …

Satu hal lagi orang dok sembang tentang sistem kutipan yang digunakan sat-sat macam ni, sat-sat macam tu dulu bermeter la ni berkupon pula (orang perak kata apa ke hal ni yob ) memang boleh ikut suka ke macam tak ada garispanduan aja dok pi “gazet” kat mana macam harta benda syarikat pula .. Jabatan yang berkenaan tolong tengok benda ini. Ini hasil Majlis yang perlu dimaksimumkan pendapatannya supaya dapat mengimbangi kewangan MBAS semula tak perlu tengok benda yang besar lagi bak ibarat kuman yang jauh nampak gajah didepan mata tak nampak …

Sistem kutipan yang digunakan telah mengelirukan warga bandaraya yang sesungguhnya pun dah keliru dengan sistem lalulintas dalam Bandaraya Alor Star kalau nak buat Bandaraya dalam taman pun jangan sampai letak pasu tengah-tengah Bandar mintalah MBAS menyusun semula pengurusan Bandar agar kita bangga menjadi warga Bandaraya Alor Star belum cakap bab-bab lain lagi mengenai kemudahan awam, infrastruktur dan perkhidmatan kebersihan dan kutipan sampah.. fikir-fikirlah dari Datuk Bandar hingga sampai ke buruh sebenarnya kami warga bandaraya faham masalah MBAS yang dihadapi iaitu tiga (3) perkara duit, duit dan duit .. kadangkala yang pahit itu adalah penawarnya ..